Sama seperti hari- hari yang lain, hari ini juga menjanjikan seribu pengharapan buat Fakhrul yang baru berpindah ke kota Metropolitan, Kuala Lumpur. Suasana di Bandar ini ketara merimaskan Fakhrul yang berasal dari desa di utara tanah air. Fakhrul datang ke bandar hanyalah semata- mata untuk melepaskan dirinya dari kongkongan warga desa yang rata- ratanya bersifat rajin dan bersungguh- sungguh dalam pekerjaan mereka. Dalam keheningan pagi ketika unggas belum lagi berhenti berderik, Fakhrul tiba- tiba teringat akan ayahnya di desa.
" tak boleh! Ayah tak benarkan kau pergi!" suara lantang Pak Anor menegur kedegilan anaknya. Anaknya si Fakhrul yang baru sahaja setahun jagung itu masih berdegil membalas teguran ayahnya " Kalau saya ke kota dapatlah mencari wang sendiri, tak perlu lagi nak minta duit dari ayah dan emak, bukankah ini lagi menyenangkan kita?". Pak Anor cuma berdiam diri mendengar alasan anaknya itu. Beberapa detik selepas itu barulah dia memberi kata putus "kalau itulah yang Fakhrul mahukan, pergilah! Tapi sekiranya Fakhrul dilanda musibah, ayah tak akan menolong!"
Tiba- tiba lamunan Fakhrul terhenti kerana disampuk oleh Ali, rakan serumahnya. Ali bekerja sebagai seorang jurujual manakala Fakhrul pula bekerja sebagai pelukis di sebuah majalah terkemuka tanah air. Penggal pertama hidup mereka berjalan seperti biasa namun, setelah enam bulan bersama, Fakhrul mula berubah. Perubahan sikap Fakhrul ini berpunca daripada seorang perempuan bernama Aliya. Aliya merupakan seorang penulis yang bekerja di syarikat yang sama dengan Fakhrul. Fakhrul mula jatuh hati terhadap Aliya dan sekian hari dia berubah menjadi malas. Pernah sekali Ali bertengkar dengan Fakhrul " Kalau kau malas, jangan tinggal dengan aku!!!" itulah kata- kata kemarahan yang Ali lemparkan kepada Fakhrul. Namun, kata hanya tinggal kata, Fakhrul menjawab dengan nada yang amat tinggi kepada Ali " Hei, aku tahu apa yang aku buat!!! Aku ada banyak masa, bukannya aku malas!!!" Dua hari selepas peristiwa ini, Ali terus berpindah rumah. Bagi Ali daripada bermasam muka dengan teman serumah, lebih baik dia hidup bersendirian. Sekurang- kurangnya dia tidak membuang masa seperti Fakhrul yang kini sedang asyik membuang masa bersama- sama Aliya yang hanya memandang harta Fakhrul semata- mata. Maklumlah bakat Fakhrul merupakan bakat luar biasa. Tidak semua insan dilahirkan tahu melukis.
" Aliya, marilah keluar bersama saya hari ini, sekarang ni saya banyak masa lapang!" pelawa Fakhrul kepada Aliya sebaik saja kedua- dua mereka masuk ke dalam lif untuk ke tempat letak kereta. Aliya yang keletihan dengan selamba menjawab " saya tak suka buang masa macam awak!!!" Jawapan ringkas ini seolah- olah telah mengguris luka di hati Fakhrul. Dia benar- benar kecewa, kerana wanita idamannya itu menolak pelawaannya bulat- bulat. Disebabkan geram, Fakhrul memandu laju keretanya pada malam itu. Lantaran itu, dia tiba- tiba terlanggar sebuah kereta dan berlakulah kemalangan kecil. Pemilik kenderaan yang dilanggar Fakhrul tadi seolah- olah sengaja membiarkan keretanya dilanggar oleh Fakhrul. Kemalangan tadi nampaknya seolah- oleh telah dirancang. Malah lebih menghairankan Fakhrul, orang itu kelihatan tersenyum melihat Fakhrul.
Dua cawan kopi O panas yang dihidangkan restoran Pak Abu telahpun dihabiskan. Fakhrul bersama 'Pakcik' misteri ini telahpun selesa berbual antara satu sama lain. Yang hairannya, 'pakcik' ini tidak sekalipun memperkenalkan dirinya. Akhirnya Fakhrul memberanikan dirinya untuk bertanya " mengapa pakcik bersemangat untuk belanja saya walaupun saya yang langgar kereta pakcik? Siapa nama pakcik??" Suasana sunyi seketika lalu pakcik itu pun bersuara " Tak perlulah kau tahu siapa nama pakcik. Yang penting pakcik nak beli sesuatu dari kamu. Pakcik ingin sangat membeli 'Masa' dari kamu... Mahukah kamu menjual masa kamu kepada pakcik??" Mendengar penjelasan daripada orang pelik itu, Fakhrul mula menaruh rasa yang tidak senang. Dalam hati kecilnya berbisik "adakah dia ni orang gila??, masa mana boleh dijual beli." Fakhrul terdiam tanpa kata dan kemudiannya mengangguk tanda setuju dengan tawaran pakcik itu. Jesteru itu, pakcik 'misteri' tersebut memberikan wang tunai berjumlah satu juta Ringgit Malaysia kepada Fakhrul lalu berkata " anggaplah masa kamu telah pun pakcik beli" Fakhrul hanyalah tersenyum. Dalam benak fikirannya terdetik "dahlah aku yang melanggar keretanya, dia belanja aku minum dan sekarang ni dia nak beli masa dari aku dengan duit sejuta. Sekelip mata je aku dah jadi jutawan. Apa ada hal, aku kan banyak masa!!! "
Keesokan harinya merupakan hari cuti umum. Aliya hari ini tidak keberatan untuk menemani Fakhrul memandangkan Fakhrul ingin menghadiahkannya seutas rantai emas. Inilah pemikiran perempuan zaman sekarang, hanya mementingkan duit dan harta benda. Mereka berdua keluar pada awal pagi. Mereka pergi membeli belah seperti biasa. Fakhrul berasa gembira kerana dengan menjual masanya, dia dapat menikmati indahnya kehidupan. Tetapi, langit tidak selalunya cerah, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Aliya tiba- tiba lari meninggalkannya. Daripada lenggok lariannya, seseolah Aliya telah melihat sesuatu yang amat menakutkan dirinya. Fakhrul yang hairan dengan tindakan Aliya itu, cuba berlari untuk mengejar Aliya. Malangnya, otot- otot serta sendinya terasa sangat sakit sekali untuk melakukan pergerakan. Dirasakan oleh Fakhrul seolah- olah dirinya menjadi semakin pendek, penglihatannya mulai kabur, dan pendengarannya mulai samar- samar. Apakah yang telah berlaku? Nyata hal ini teramat membingungkan Fakhrul. Nafasnya semakin tercungap- cungap. Bencana apakah yang menimpa dirinya ini? Pada saat inilah dia terdengar suara ayahnya bergema di dalam benak fikirannya " tak boleh! ayah tak benarkan kau pergi!". Sampai di suatu sudut di luar bangunan pasaraya tersebut barulah Fakhrul menyedari sesuatu. Dia terlihat pantulan imej dirinya dari cermin tingkap bangunan pasaraya itu. Imej yang dia lihat merupakan wajahnya yang semakin berkedut- kedut dan tidak ubah seperti seorang tua yang sangat berusia sekali. Pasa masa inilah, Fakhrul mengerti bahawa masa adalah penting dalam kehidupan. Dia telah menjualkan masanya hanya semata- mata kerana duit.
K.A.K : ini karangan cerpen aku tulis masa umur 16 tahun pada tarikh 7/10/2002
No comments:
Post a Comment